Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ibarat terbang di langit ketujuh
selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia 2012 dengan
penuh bergaya apabila menyingkirkan juara bertahan, Negeri Sembilan 6-3
secara aggregat pada aksi suku akhir.
Anak buah B.Sathianathan memperlihatkan kredibiliti mereka selaku
antara pencabar utama kejuaraan apabila bangkit daripada ketinggalan
untuk merakamkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan tuan rumah di Stadium
Tunku Abdul Rahman, Paroi, dan kini hanya Lions XII menjadi pemisah
antara pentas final yang kali terakhir dijejak pada 1966.
Pengendali ATM, B.Sathianathan nyata cukup teruja dengan kemenangan
ini walaupun pada satu ketika kelebihan 1 gol yang dibawa hasil
kemenangan di Selayang pada aksi peringkat pertama bingkas dipadam
seawal minit kelima oleh Alif Shamsudin.
“Pemain saya menampilkan aksi cukup berdisplin, berusaha keras dan
komited untuk mencatat kemenangan. Mereka mempraktikkan dengan baik
arahan yang telah diberi. Saya tidak pernah risau sekalipun ketika kami
bolos awal, kerana saya tahu pasukan saya boleh menjaringkan gol.
Kehebatan barisan depan saya tidak perlu dipertikai,” ujar Sathianathan.
Pada aksi suku akhir kedua itu, ATM dikejutkan dengan gol awal Alif
yang menolak masuk bola menewaskan Farizal Harun hasil kekalutan di
depan gol, namun ATM tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan
menerusi tandukan bekas pertahanan skuad Hoben, Aidil Zafuan Abdul
Radzak hasil hantaran Azmi Muslim, 4 minit kemudian.
Anak buah Azraai Khor Abdullah menggandakan asakan dan Emanuel
Effa-Owona menyaksikan sepakan percuma melencongnya ditepis keluar
Farizal Harun pada minit ke-19, tatkala Negeri Sembilan menyaksikan
setiap usaha mereka untuk kembali menyamakan kedudukan secara aggregat
menemui kegagalan.
Ghairah menyerang, memberikan lebih banyak ruang bergerak untuk ATM,
dan hasil satu serang balas pantas pada minit ke-42, ATM mengukuhkan
kedudukan mereka dengan defisit dua gol menerusi jaringan Marlon Alex
James yang mendapat hantaran daripada Zaquan Adha.
Marlon menutup terus sisa kebangkitan sang rusa, apabila
menyempurnakan hantaran lintang Bruno Sebastian Martelotto pada minit
ke-56 untuk keputusan muktamad 3-1, dan 6-3 secara aggregat.
Di separuh akhir, ATM akan menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar
pada 5 Oktober sebelum aksi timbal balik pada 11 Oktober di Stadium
Selayang.
http://www.atmfa.my/news/atm-singkir-juara-bertahan-sathia-bangga-sentuhan-pemusnah/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=atm-singkir-juara-bertahan-sathia-bangga-sentuhan-pemusnah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan