UTUSAN/Saharuddin Abdullah
KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Negeri Sembilan
terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Malaysia 2012
selepas tewas kepada juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
3-1 dalam pertemuan suku akhir kedua di Seremban, semalam.
Jaringan seawal minit keempat oleh Alif Shamsuddin tidak cukup untuk
menyekat kegarangan pelawat yang hadir dengan gol oleh Aidil Zafuan Abd.
Radzak dan dua lagi daripada Marlon Alex James di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.
Kemenangan menerusi gol minit kesembilan, 42 dan 57 itu, sebaliknya
melayakkan ATM ke separuh akhir untuk menentang Lions XII, Jumaat ini
dengan agregat besar 6-3 selepas mereka menang 3-2 pada pertemuan
pertama di Selayang, Jumaat lalu.
Pasukan undangan dari Singapura yang kembali ke Piala Malaysia sejak
1994, Lions XII pula mengesahkan tiket lain ke separuh akhir dengan
menundukkan Pahang 2-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada satu lagi suku akhir.
Biarpun tewas 1-2 di Kuantan, minggu lalu, kemenangan di gelanggang
sendiri semalam membolehkan anak buah V. Sundramoorthy ini mara ke
separuh akhir, Jumaat ini secara agregat 3-2.
Dalam pertembungan dramatik di Stadium Sultan Muhammad IV,
Kota Bharu, jaringan Nor Farhan Muhamad dan Mohamed Ghaddar menghidupkan
semula impian Kelantan untuk memburu gelaran ketiga mereka musim ini,
Piala Malaysia dengan mengikat Felda United 2-2.
The Red Warriors nyaris tersingkir apabila dikejutkan gol pemain
Felda United, Mickael Curier dan Farderin Kadir pada minit ke-42 dan 54,
namun dua gol Farhan dan Ghaddar pada minit ke-70 dan masa kecederaan
itu, menjadikan tuan rumah mara secara agregat 4-3.
Juara Piala FA dan Liga Super 2012 itu kini menempah pertemuan
separuh akhir pertama di Kota Bharu, Sabtu ini dengan Selangor yang
turut mara secara agregat 5-2 selepas menewaskan Johor FC 2-1 hasil
jaringan S. Veenod dan Fitri Shazwan di Stadium Shah Alam, semalam.
Fernando Augusto cuba menghidupkan peluang dengan gol penyamaan Johor
FC, namun kemaraan Gergasi Merah yang juga juara Piala Malaysia 32 kali
tidak mampu dibendung pelawat lagi apabila menyambung kemenangan 3-1
dalam suku akhir pertama, minggu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan