Juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan akhirnya mengesahkan tempat mengiringi ATM untuk melepasi saingan Kumpulan B apabila mencatatkan kemenangan besar 6-1 di Kota Bharu sekali gus bergelar juara kumpulan menerusi perbezaan jaringan mengatasi ATM yang hanya seri 2-2 menentang Kedah.
Keputusan terbabit mengundang situasi kurang menyenangkan untuk ATM yang dikendalikan B Sathiananthan yang sepatutnya mendapat lawan lebih mudah dan kini terpaksa berdepan juara bertahan Piala Malaysia, Negeri Sembilan, juara Kumpulan C selepas terikat 1-1 dengan Felda United.
Namun mereka seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila membiarkan Kedah bangkit pada akhir perlawanan untuk meledak dua gol bagi menafikan dua jaringan babak pertama menerusi tonggak importnya, Marlon Alex James dan Bruno Martelotto.
Manakala situasi menggembirakan buat Kelantan yang meledak enam gol di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV untuk berada pada landasan terbaik meraih treble musim ini apabila dilihat selesa bertemu Felda United pada suku akhir dengan perlawanan pertama dijadual berlangsung 28 September ini.
Pasukan jemputan dari Singapura, LionsXII pula memastikan tiket ke suku akhir walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Johor FC sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan mengumpul sembilan mata untuk mengungguli Kumpulan A bagi menyingkirkan Johor yang menewaskan PKNS FC, 2-0.
Lawan menanti LionsXII adalah naib juara Kumpulan D, Pahang yang tewas mengejut 2-3 kepada T-Team menerusi jaringan lewat permainan Zairo Anuar Zailani.
Dua jaringan Mohd Amri Yahyah pada babak kedua memastikan Selangor layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan D untuk mengumpul 13 mata sekali gus menyingkirkan Pahang ke tempat kedua.
Namun Selangor yang dikendalikan Irfan Bakti Abu Salim terpaksa menunggu hingga ke babak kedua permainan untuk membuka jaringan pada minit ke-66 sebelum pemain berpengalaman itu memastikan kehadirannya terus dirasai menerusi jaringan kedua pada minit ke-73.
Bagaimanapun aksi suku akhir pertama membabitkan Selangor dan LionsXII akan berlangsung pada Jumaat depan dan aksi timbal balik pada 26 September kerana kedua-dua pasukan terbabit dalam merebut Piala Sultan Selangor pada 29 September.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan